Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pada tanggal 9 November 2018, saya bersama lima orang rakan yang lain telah melawat Muzium Negara yang terletak di Kuala Lumpur. Tujuan utama kami melawat muzium ini kerana pada awalnya kami ingin menyiapkan tugasan kami berkenaan "Warisan Negara". Selain itu, kami juga ingin menimba pengalaman dan ilmu pengetahuan sedikit sebanyak mengisi masa lapang. Kami bertolak dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada jam 10 pagi dan tiba tepat pada jam 12.30 tengah hari.
Di pintu Muzium Negara
Tiket masuk yang berharga RM2
Pelan Lantai Muzium Negara
Pertama sekali kami melawat ke Galeri Sejarah Awal. Galeri ini menerangkan susur-galur pembentukan muka bumi dan juga sejarah awal seperti penemuan batu atau alat-alatan Zaman Paleolitik (200,000 tahun dahulu). Selain itu terdapat juga Perak Man atau Manusia Perak yang bertarikh antara 11,000 tahun dahulu yang dijumpai di Lenggong, Perak. Selain itu, antara penemuan lain yang berada di galeri ini ialah pelbagai jenis tembikar dan barang-barang perhiasan seperti anting-anting yang diperbuat dari kulit siput. Kemudian, apa yang menarik minat saya ialah di muzium ini mereka mempamerkan cara-cara pengkebumian masyarakat silam.
Selepas itu, kami pergi ke Galeri Kedua iaitu berkenaan Kerajaan-Kerajaan Melayu. Galeri ini mempamerkan perkembangan tamadun awal melayu yang wujud di Semenanjung Tanah Melayu dan Kepulauan Borneo. Galeri ini memfokuskan kepada Kerajaan Melayu Melaka kerana ianya merupakan sejarah yang penting yang bukan sahaja terkenal sebagai pusat perdagangan bahkan sebagai salah satu kerajaan yang mewujudkan sistem pemerintahan beraja yang menjadi ikutan kerajaan lain.
Mural Hang Tuah
Di Galeri Ketiga pula terdapat Era Kolonial di mana Galeri ini memaparkan sejarah Melayu termasuk Sabah dan Sarawak ketika masih berada di bawah cengkaman penjajah seperti British mahupun Belanda dan juga Jepun. Seperti kita ketahui, Tanah Melayu terkenal sebagai kerajaan yang kaya dengan bahan mentah. Bahan mentah seperti bijih timah telah menjadi tumpuan kepada negara-negara lain. Maka, dengan ini berlakulah penjajahan dari negara kolonial di mana telah mendatangkan kesan yang mendalam bagi Tanah Melayu.
Seksyen Penjajahan Belanda
Itulah sedikit sebanyak pengalaman dan ilmu yang telah kami dapat pada hari itu. Ternyata betul dan nyata bahawa terdapat pelbagai sejarah negara ibunda kita yang amat berguna pada masa kini dan masa hadapan. Kita sebagai rakyat Malaysia perlulah pelihara dan hargai khazanah negara kita agar ianya kekal sehingga generasi akan datang.
Yang benar,
Azmin Farhana
0 comments:
Post a Comment