Mari Berkongsi : Ramadhan Kareem

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Dengan ini, saya ingin berkongsi tips-tips yang diajar oleh Rasulullah s.a.w untuk puasa kita dinilai tinggi oleh Allah.

1. Sahur



Bilakah waktu yang afdal untuk bersahur mengikut Rasuluallah?

Bersahur bukanlah dilakukan ditengah malam, tetapi ia dilakukan di awal pagi, iaitu waktu yang sangat hampir dengan waktu solat subuh.
Bersahur amat penting kerana ianya akan memberi tenaga untuk kita menghabiskan hari siang kita dengan berpuasa tanpa lapar atau dahaga yang melampau. 
Dari Anas Bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Bersahurlah kerana pada sahur itu terdapat keberkatan.(HR: al-Bukhari)
Rasulullah s.a.w juga menekankan kepada kita untuk bangun bersahur kerana ia adalah salah satu dari ciri-ciri bersahur orang Islam yang haruslah kita ikuti. Sahur amat penting agar kita bertenaga dan melakukan ibadat kepada Allah.
Sabdanya: bermaksud: Perbezaan antara puasa kami dengan puasa ahlu al-Kitab adalah makan sahur (HR: Muslim)
2. Berbuka Segera Setelah Masuk Waktunya
Kita sebaiknya tidak melewat-lewatkan waktu berbuka setelah masuknya waktu Maghrib.
 Manusia itu akan terus berada dalam kebaikan selagi mana dia menyegerakan berbuka puasa.(al-Bukhari & Muslim)
Perbuatan melambat-lambatkan berbuka puasa adalah salah satu perbuatan yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w. Kita seringkali melihat perkara ini sebagai satu isu remeh atau tidak penting. Sebagai contoh yang sering terjadi, ketika Azan Maghrib sedang berkumandang, terdapat juga segelintir masyarakat yang masih berlegar-legar di bazaar ramadhan dan di tempat lain. 
Amalan melewat-lewatkan berbuka puasa adalah amalan Yahudi dan Kristian. Persiapan seharusnya dilakukan dengan segera agar seruan Rasulullah s.a.w untuk kebaikan umatnya dapat diterapkan sebaiknya.
3. Berbuka Dengan Kurma


Antara kaedah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w adalah berbuka dengan beberapa biji kurma basah.
Ini bagi memudahkan dirinya bersolat dalam keadaan yang tidak terlalu kenyang.
Pernah diriwayatkan dari Anas Bin Malik, seperti yang dilaporkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi yang bermaksud:
Rasulullah s.a.w apabila baginda berbuka puasa, baginda berbuka dengan beberapa biji kurma basah sebelum solat. Jika tiada kurma basah, baginda berbuka dgn kurma kering. Jika tiada kurma kering, baginda berbuka dengan beberapa teguk air. 
4. Menjaga Lidah

Sekiranya berpuasa tetapi mulut tidak lekang mengata dan menyebarkan fitnah, ianya ibarat berpuasa sia-sia. Menahan lapar dan dahaga tanpa mendapat sebarang pahala. 

Rasulullah s.a.w bersabda dalam sepotong hadis yang diriwayat oleh Ahmad dan al-Tabarani yang bermaksud:
Ramai orang puasa, tetapi balasannya hanya lapar dan dahaga (tiada pahala) dan ramai orang berjaga malam (beribadah) balasannya hanyalah mengantuk (tiada pahala)

Maka sebaiknya kita haruslah menjauhi perbuatan Mengumpat, mencaci, mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah, mengadu domba, banyak bercakap, berbohong dan menyanyi lagu-lagu yang lagha.


5. Berdoa Ketika Berbuka Puasa

Amalan membaca doa berbuka puasa merupakan mustajab. Kita juga digalakkan berdoa kepada Allah ketika menunggu masuk waktu Maghrib itu. 
Rasulullah s.a.w juga mengajarkan cara berdoa ketika berbuka puasa.
Berikut adalah doa yang baik untuk dibacakan oleh kita sebagai memenuhi tuntutan ittiba’ al-Sunnah. Imam al-Darulqutni menilai sanad hadis ini sebagai hasan.
Doa tersebut adalah:

ذهب الظماء وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله تعالى

Bermaksud: Telah hilang kehausan, telah basah urat-urat dan telah ditetapkan pahala-pahala insyaAllah.
Marilah kita bersama-sama memenuhi bulan mulia ini dengan melakukan sunnah Nabi Muhammad dan mengisi masa dengan melakukan amal ibadat. Bukan sahaja di bulan ramadhan, malahan di bulan seterusnya juga.  



CONVERSATION

0 comments:

Post a Comment

Back
to top