Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pembaca sekalian.
Seni persembahan teater merupakan salah satu seni yang amat diminati dan dekat dengan saya. Dari saya di bangku sekolah, saya amat gemar melihat persembahan-persembahan teater yang seringkali dipersembahkan. Pada hari kemerdekaan, Hari Guru, Hari Kanak-Kanak, Hari Raya dan sebagainya. Tetapi saya tidak pernah berpeluang untuk menjadi salah satu krew atau pelakon bagi persembahan teater ini atas sebab kurang keyakinan diri dan persaingan yang tinggi.
Setelah saya menyambung pelajaran di UPM, pada hari pertama orientasi pelajar seorang pensyarah telah mempromosi satu "audition" atau ujibakat teater yang bertajuk "KERIS LAKSAMANA BENTAN". Hal ini telah menarik perhatian saya dan minat saya terhadap teater pada ketika itu telah membuak-buak. Ujibakat itu akan dijalankan dalam beberapa minggu lagi. Saya masih jelas ingat bahawa pada ketika itu saya berkata pada diri, "jika bukan sekarang, bila lagi peluang begini akan muncul?"
Ujibakat itu dijalankan di Fakulti Bahasa Moden Dan Komunikasi. Perasaan gemuruh dan gementar menyelubungi diri tetapi atas semangat dan kata-kata yang diberikan oleh rakan-rakan dan keluarga, Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar.
Dalam beberapa hari selepas ujibakat itu, saya telah menerima satu mesej pesanan melalui Whatsapp bahawa saya telah mendapat watak sebagai Dang Anum. Ketika itu, pelbagai perasaan membelengu diri saya. Syukur, gembira, gementar, teruja. Betapa syukurnya saya atas rezeki yang diberikan oleh Allah pada ketika itu. Dang Anum yang merupakan watak utama bagi kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Walaupun saya yang tiada sebarang pengalaman untuk menjadi seorang pelakon teater, direktor dan krew yang lain yakin dan mahu memberi peluang kepada saya. Ianya merupakan satu tanggungjawab yang besar buat saya.
Kami telah menjalankan latihan selama lebih kurang hampir 2 bulan. Pelbagai perkara telah saya pelajari dari mereka. Teknik-teknik lakonan, cara penghayatan watak, cara menyampaikan emosi dan berkomunikasi dengan penonton merupakan antara ilmu yang amat berguna dan takkan dilupakan oleh saya. Walaupun agak penat dan saya juga perlu peruntukkan masa dengan sebaiknya agar tidak mengganggu waktu belajar, ianya amat bermakna.
Antara cabaran besar bagi saya merupakan penghayatan watak itu sendiri. Hal ini kerana watak Dang Anum itu merupakan seorang wanita sarat mengandung yang menunggu kepulangan suaminya. Maka ianya amat sukar bagi saya untuk menghayati dan mendalami watak itu. Selain itu, teknik lontaran suara juga antara cabaran yang agak sukar bagi saya.
Pada hari pementasan, dewan dipenuhi dengan penonton yang terdiri daripada para pensyarah, pelajar UPM dan universiti lain. Keluarga saya turut datang untuk memberi sokongan. Pementasan berjalan selama 2 jam. Pada akhir pementasan, perasaan lega dan gembira yang tidak terkata. Ianya merupakan satu pengalaman yang amat bermakna dan tidak akan dilupakan oleh saya.
0 comments:
Post a Comment